Ahad, 10 Januari 2016

SEJARAH DAYAK KAJAMAN


Kisah Dayak Kajaman Etnik.
SEJARAH KAJAMAN
Pada tahun 1830an dua orang pegawai Inggeris, iaitu Mr. Fox dan Mr. Steel telah dibunuh di Kanowit. Pembunuhnya iaitu Sawing dan Sakalai terdiri daripada kaum Kanowit. Mengikut ceritanya kaum Kanowit telah ada mempunyai tali persaudaraan dengan kaum-kaum yang ada di Batang Balui. Oleh kerana itu, Sawing dan Sakalai melarikan diri ke hulu Batang Balui bersama-sama pengikutnya. Kebetulan pada masa mereka sampai di Nanga Sama, Sawing dan Sakalai serta pengikut-pengikut bertemu dengan sekumpulan besar kaum Kayan yang diketuai oleh Lake’ Havit yang baru berpindah dari Batang Kayan di Kalimantan.
Mengikut cerita Lake’ Havit mempunyai kaki sebelah kiri yang cacat tetapi tegas dan mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan masyarakat di hulu Batang Balui. Dengan kesempatan ini Sawing dan Sakalai merayu perlindungan daripada Lake’Havit. Lake’Havit telah menerima rayuan ini sebab dia telah mendapat bantuan daripada kaum-kaum lain yang ada sekitar kawasan Batang Balui. Apabila Rajah Brooke mendapati bahawa Sawing dan Sakalai telah berselindung di bawah jagaan Lake’Havit. Rajah Brooke menghantar pegawainya untuk berunding dan menghantarkan sebilah pedang dan sehelai bendera pemerintahan Rajah Brooke sebagai simbolik, tetapi Lake’Havit dan pengikutnya telah memilih sebilah pedang dan mengembalikan bendera. Ini bererti Lake’Havit dan pengikut-pengikutnya menentang pemerintahan Rajah Brooke. Lake’Havit dan pengikut-pengikutnya pergi ke tiap-tiap rumah panjang kaum Punan untuk mendapat sokongan bagi menubuhkan pangkatan yang kuat untuk menentang pangkatan Rajah Brooke, tetapi kaum Punan telah menolak pelawaan ini.
Lake’Havit terus pergi jumpa tiap-tiap rumah panjang kaum Sekapan tetapi kaum Sekapan juga menolak pelawaan Lake’Havit. Walaupun Lake’Havit gagal memujuk Kaum Punan dan kaum Sekapan untuk menyertai angkatannya, dia terus pergi ke tiap-tiap rumah panjang kaum Kejaman. Akhirnya kaum Kejaman bersetuju untuk menubuhkan satu angkatan bergabung dengan angkatan Lake’Havit. Angkatan kaum Kejaman telah ditetapkan sebagai barisan hadapan menentang pangkatan Rajah Charles Brooke.
Kononnya kaum Kejaman sudah bersiap-sedia dan sudah melatih lapan ratus lapan puluh lapan orang pahlawan yang gagah dan berani dan pandai berperang. Lake’Havit dan pangkatannya berpindah ke hulu Batang Balui sebagai pangkatan barisan belakang menentang pangkatan Rajah Charles Brooke. Mengikut cerita, semua kaum Kejaman telah berkumpul di satu tempat iaitu di Tuju Meta’ap (kawasan itu kira-kira dua kilometer dari sebelah hilir Kem Teleng Logging Sendirian Berhad sekarang). Sebelum angkatan Rajah Brooke sampai, angkatan kaum Kejaman sudah bersiap-sedia membina panggar menyediakan bermacam-macam jenis peralatan seperti lembing, tombak, parang, pedang, perisai, sumpuitan, perangkap dan peluru-peluru meriam.
Pada pertengahan tahun 1836 Rajah Charles Brooke telah mengadakan Batang Balui Expedition untuk menentang penjenayah, pemberontak serta menangkap pembunuh Mr. Fox dan Mr. Steel, iaitu Sawing dan Sakalai. Rajah Charles Brooke telah membawa berbelas ribu pengikut yang terdiri daripada kaum Than daripada Batang Skrang, Layar, Julau dan Batang Baleh serta kaum-kaum lain dari sekitar sepanjang Batang Rajang. Angkatan Rajah Charles Brooke terus bergerak ke hulu Batang Rajang terus sampai ke hulu Batang Balui. Akhirnya angkatan Rajah Charles Brooke telah tiba di Tuju Batou berdekatan dengan kota angkatan kaum Kejaman di Tuju Meta’ap.
Apabila mereka tiba di Tuju Batou, Rajah Charles Brooke mengarahkan tenteranya mengibarkan bendera putih yang telah menunjukkan dia telah ingin berdamai tetapi pangkatan kaum Kejaman telah mengibarkan bendera merah yang menunjukkan angkatan kaum Kejaman hendak menentang angkatan Rajah Charles Brooke. Kedua-dua pihak telah bertempur selama lapan hari dan lapan malam dan akhirnya angkatan kaum Kejaman telah mengaku kalah. Ramai daripada kedua-dua pihak telah terkorban, malangnya kaum Kejaman telah menerima banyak kemusnahan. Ramai perempuan dan anak kecil telah dibunuh dan ditangkap serta banyak harta benda telah dirampas dan banyak rumah panjang di sepanjang Batang Balui dibakar.
Mengikut cerita ada seorang daripada pahlawan kaum Kejaman yang bernama Imem Ada’ seorang yang gagah, berani serta pandai menggunakan senjata perang telah mempertahankan serangan musuh serta dapat memberi ruang bagi ibu-ibu serta anak-anak kecil dan orang-orang tua melarikan diri. Dua orang anak kepada laja levou, seorang anak lelaki bernama Sebuang Kebing dan seorang anak perempuan yang bernama Inan Joi Sukun telah ditangkap sebagai tawanan, tetapi Rajah Charles Brooke mengarahkan pengikutnya menghantar balik mereka. Inan Joi Sukun telah dibawa ke hulu Batang Balui dan ditinggalkan di Na’ Lake’ Dian serta ditandakan dengan sehelai bendera pemerintahan Rajah Brooke, tetapi Sebuang Kebing telah terus dibawa oleh seorang pahlawan Than dari Julau sebagai anak angkat. Rajah Charles Brooke terus ke hulu Batang Balui untuk mencari Lake’Havit dan pengikut-pengikutnya. Akhirnya Lake’ Havit telah mengaku kalah dan Sawing serta Sakalai telah ditawan dan ditangkap.
Aman Tipung Tului
Pada sekitar tahun 1840 an kaum Kejaman telah mulai hidup dalam keadan aman dan damai. Mereka telah mulai membina semula rumah-rumah panjang yang telah musnah selepas peperangan. Kaum Kejaman telah di bahagi kepada dua buah rumah panjang. Sebuah rumah panjang telah menetap di Datah Liten yang telah dipimpin oleh seorang laja levou yang bernama Aman Nyagou Ridzum dan sebuah rumah panjang lagi dipimpin oleh seorang laja levou yang bernama Aman Tipung Tului atau Tului Kebing. Kedua-kedua pemimpin ini telah bijak memimpin anak-anak buah mereka.
Mengikut cerita Aman Tipung Tului hanya mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Tubun Tului, tetapi apabila Tubun berumur dalam lingkungan empat tahun dia jatuh sakit dan telah meninggal dunia. Aman Tipung Tului yang sangat sayangkan anaknya, mahu mendirikan sebuah kelirieng (sesetengah masyarakat Sarawak menyebutnya salong) tempat kebumian anaknya. Tiang kelirieng ini dibuat daripada dua batang kayu belian dan seba, tiang kayu belian ini mempunyai lilitan kira-kira tujuh puluh dua hingga lapan puluh inci dan tiga puluh hingga lapan puluh kaki tingginya. Tiang belian ini telah ditebuk lubang di atasnya tempat menyimpan mayat si mati dan ditutup dengan seketul kepingan batu. Aman Tipung Tului telah mendirikan kelirieng ini di sebidang tanah di muara Sungai Segaham.
Tiang kelirieng ini telah dikenali sebagai Kelirieng Aman Tipung Tului dan telah dipindahkan oleh Muzium Sarawak pada tahun 1971 ke Kuching. Sekarang Kelirieng Aman Tipung Tului ini telah didirikan di halaman Bangunan Tun Abdul Razak di Kuching. Mengikut cerita, dua batang belian itu telah didapati dari Sungai Koran. Seketul kepingan batu yang telah kira-kira dua ratus lima puluh enam kaki persegi dan sepuluh hingga enam belas inci tebal sebagai penutup di atas kelirieng. Batu ini masih ditinggalkan di muara Sungai Segaham hingga sekarang. Seketul kepingan batu ini telah didapati dari muara Sungai Selengau, kira-kira sepuluh minit perjalanan menaiki bot ekspres ke hilir (ke Kapit) dari Pekan Belaga. Mengikut cerita, batu ini dibawa ke muara Sungai Segaham dengan rakit yang dibuat daripada berpuluh-puluh batang balak yang ditarik hulu oleh beratus-ratus orang dengan menggunakan rotan dan akar.
Mengikut cerita rakit itu telah ditarik ke hulu sama dengan masa selama pisang ditanam di atas rakit, apabila sampai di muara Sungai Segaham pisang itu pun berbuah. Apabila batu ini sampai di muara Sungai Segaham dua batang tiang belian itu didirikan sama pada masa hari gegaran gempar bumi yang kuat, iaitu pada masa Karakatou Island Erruption. Aman Tipung Tului adalah seorang pemimpin yang disayangi oleh semua penduduk di kawasan Batang Balui dan juga dikenali oleh penduduk di tempat lain sampai kepada semua penduduk di Batang Kapuas di Kalimantan.
Kaum Memaloh dan Turi dari Batang Kapuas, kaum Rajang dari Kuala Rejang, kaum Berawan dan kaum Seping dari Tinjar datang membantu mendirikan tiang Kelirieng Aman Tipung Tului. Mengikut cerita,tiang kelirieng ini siap didirikan selama tiga tahun. Semua penduduk yang ada datang telah ada menggunakan bermacam-macam cara untuk menarik seketul kepingan batu ke atas tiang itu tetapi gagal, akhirnya kaum Turi telah berjaya mereka sejenis alat tarik yang dibuat daripada rotan dan akar yang kuat yang telah diguna untuk menarik atas seketul kepingan batu penutup tiang kelirieng itu. Pada sepanjang masa pembinaan kelirieng Aman Tipung Tului, semua kaum wanita penduduk rumah-rumah panjang berdekatan telah menanam tanaman seperti ubi, tebu, jagung, keledek dan sayur-sayuran untuk menambahkan pembelanjaan dan disamping itu juga mereka siang dan malam sibuk menyediakan kuih-muih sebagai makanan tambahan.
Pada sepanjang masa mendirikan kelirieng itu semua pekerja telah berkampung di berdekatan tapak pembinaan. Sebelum tahun 1960 an orang masyarakat Kajang masih mengamalkan adat istiadat menulang atau mudzu, di mana mayat si mati telah disimpan dalam keranda yang dinamakan biguan. Biguan adalah keranda yang ditebuk daripada sebatang kayu yang sesuai besarnya dengan mayat si mati dan keranda ini telah diukir dan dihias dengan secantiknya. Apabila kerja ini telah selesai, keranda ini akan diasing dari rumah panjang dalam masa beberapa bulan atau beberapa tahun sepanjang masa membuat tempat perkuburan seperti mendirikan kelirieng. Apabila semua kerja ini sudah siap, keranda ini dibawa semula ke rumah panjang dimana diadakan upacara mudzu.
Upacara mudzu diadakan selama lapan hari atau enam belas hari, kelamaaanya upacara ini adalah mengikut pangkat keturunan si mati dan jika seseorang itu orang yang daripada keturunan laja levou mesti enam belas hari atau lebih lama lagi. Pada malam terakhir upacara mudzu akan diadakan malam terakhir yang dinamakan dou’ semua jenis makanan dan minuman dihidangkan kepada semua yang datang. Semua penduduk rumah panjang dan penduduk rumah panjang jiran dijemput datang.
Pada keesokannya keranda itu akan dibawa ke kubur dan keranda ini akan dibuka dan semua tulang, tengkorak dan semua rangka badan si mati disimpan semula ke dalam sebuah tajau dan terus disimpan dalam kelirieng. Kelirieng akan dijaga oleh ahli kaum keluarga dengan sebaik-baiknya dan apabila seseorang daripada ahli kaum keluarga yang meninggal dunia dia akan disimpan didalamnya. Didapati sampai hari ini kita masih dapat melihat peninggalan beberapa buah kelirieng di kawasan masyarakat kaum Kajang Kejaman, Sekapan, Punan dan Lahanan. Kaum Kejaman juga mahir dalam ukiran dan hingga dapat dilihat di tapak perkuburan atau didalam rumah.
Fort Vyner
Pada tahun 1850an, Aman Tipung Tului telah dilantik oleh Rajah Brooke sebagai seorang pemimpin bagi semua kaum di Batang Balui. Aman Tipung Tului telah diberi kepercayaan oleh Rajah Brooke untuk memimpin semua kaum yang ada di sekitar Batang Balui untuk mendirikan sebuah kubu di muara Sungai Belaga (muara Sungai Belaga adalah Pekan Belaga sekarang). Kubu ini dibuat daripada kayu belian dan dibina oleh semua penduduk yang berada di Batang Balui. Mereka menggunakan kapak dan beliong untuk menebang, memotong dan membelah kayu belian untuk tiang, papan dan atap kepingan kayu belian. Hanya kaum Kejaman, Sekapan, Punan dan Lahanan menetap di sekitar lembah Batang Balui di mana kaum-kaum lain seperti Kayan, Kenyah, Cina dan Melayu belum sampai menetap di kawasan lembah Batang Balui.
Kubu ini telah didirikan dalam masa dua tahun dan telah dinamakan Fort Vyner tetapi kubu ini telah diroboh pada tahun 1965 dan tapak ini sekarang di dirikan sebuah bangunan pejabat jabatan kerajaan. Walaupun kubu ini tiada lagi, kaum masyarakat Kajang masih mengingati bahawa Fort Vyner telah dibina oleh kaum masyarakat Kajang dibawah pimpinan Aman Tipung Tului mengikut arahan Rajah Brooke. Aman Tipung Tului telah seorang yang bijak dan berkaliber dan dia telah memimpin kaum-kaum yang di bawah pimpinannya dengan baik dan adil.
Hubungan Diplomatik
Pada tahun 1860an Aman Tipung Tului dan pengikut-pengikutnya telah dijemput oleh Sultan Brunei, iaitu Sultan Omar Ali Saifudin pada masa itu. Menurut ceritanya, sebelum bertolak ke Brunei, Aman Tipung Tului mengarah anak buahnya untuk membina sebuah perahu yang besar yang dapat membawa lapan puluh hingga seratus orang. Sebelum bertolak ke Brunei Aman Tipung Tului telah mengarah semua anak buahnya menyediakan semua jenis makanan dan minuman untuk mengadakan majlis khas bagi ucapkan selamat jalan. Pada majlis tersebut semua penduduk dari kawasan Batang Balui datang untuk mengucapkan selamat jalan kepada Aman Tipung Tului dan rombongannya. Pada hari berangkat ke Brunei dia telah memilih 80 orang pahlawannya yang gagah, berani dan bijak. Perjalanan ke Brunei adalah yang amat sukar, Aman Tipung Tului telah membawa perahunya melalui Jeram Pelagus terus ke Kapit, Kanowit, Sibu, Kuala Rejang dan ke Lautan Cina Selatan. (Perjalanan menggunakan bot ekpsres sekarang cuma memerlukan masa lebih kurang 15 jam sahaja).
Di sepanjang perjalanan melalui Batang Rajang, Aman Tipung Tului dan rombongannya telah berhenti di Kanowit untuk bertemu dengan kaum Kanowit dan berhenti di Kuala Rejang untuk bertemu dengan kaum Rajang. Mengikut cerita kaum Kejaman mempunyai tali persaudaraan yang rapat dengan kaum Kanowit dan kaum Rajang. Dari Kuala Rejang, mereka terus perjalanan ke Kuala Mukah dan berhenti di sini untuk menemui kaum Melanau. Didapati kaum Kejaman dan kaum Melanau ada banyak persamaan dalam bahasa ibunda adat-istiadat dan kebudayaan. Kaum Kejaman telah mempunyai tali persaudaraan yang rapat dengan kaum Melanau di Mukah, Daro, Dalat dan Balingian.
Dari Mukah mereka bertolak ke Kuala Kemena, Kuala Tatau dan terus ke Kuala Suai dan berhenti beberapa hari di sini untuk bertemu dengan kaum Penan. Selepas itu mereka bertolak ke Kuala Niah, Subis, Miri dan terus ke Kuala Baram. Dari Kuala Baram mereka bertolak ke Kuala Belait dan terus ke Brunei. Perjalanan dari Kuala Rejang melalui lautan Cina Selatan ke Brunei telah mengambil masa empat puluh lima hari. Sultan Brunei telah menyambut kedatangan Aman Tipung Tului dan rombongan dengan penuh adat-istiadat dan dalam pertemuan Aman Tipung Tului dengan Sultan Brunei mereka telah banyak berbincang mengenai wilayah pemerintahan. Sultan Brunei telah memohon Aman Tipung Tului jangan mengganggu wilayahnya di Mukah, Tatau, Miri dan Baram.
Untuk mengukuhkan persaudaraan diantara kedua-dua pihak mereka telah bertukar-tukar tanda mata. Aman Tipung Tului telah memberi Sultan Brunei beberapa buah gong dan peralatan perang dan sultan Brunei pula memberi Aman Tipung Tului satu set pakaian perang, pedang dan meriam. Aman Tipung Tului dan rombongannya tinggal di Brunei selama empat belas hari. Sebelum pulang, Aman Tipung Tului dan rombongan telah diraikan dengan satu majlis yang penuh dengan adat-istiadat. Mereka telah berangkat dari pangkalan Diraja yang telah penuh dengan ribuan rakyat Brunei yang menunggu untuk mengucapkan selamat jalan kepada Aman Tipung Tului dan rombongan.
Dalam perjalanan pulang Aman Tipung Tului menggunakan jalan darat, dari Kuala Belait mereka terus ke Kuala Baram. Beberapa hari kemudian mereka terus meneruskan perjalanan ke hulu Batang Baram ke Marudi dengan menggunakan perahu. Selepas beberapa hari tinggal di Marudi mereka terus ke hulu Tinjar. Di sinilah Aman Tipung Tului mengunjungi rumah-rumah panjang kaum Berawan, Sebob dan Kenyah. Semua penduduk rumah panjang di kawasan ini menyambut kedatangan mereka dengan mesra dan penuh adat-istiadat. Apabila genap empat belas hari tinggal di hulu Tinjar, Aman Tipung Tului dan rombongannya meninggalkan perahu mereka di Rumah Panjang Berawan dan terus berjalan dari hulu Tinjar ke Sungai Koyan iaitu sebuah sungai simpang Sungai Belaga.

Tiada ulasan: