Ahad, 10 Januari 2016

Kisah Suku Berawan



Kisah Suku Berawan.
Kisah legenda kejadian penduduk bunuh seekor ular gergasi diceritakan turun-temurun
KAUM Berawan pernah hampir pupus ratusan tahun lalu disebabkan terkena sumpahan puaka tasik Loagan Bunut berpunca daripada tindakan mereka membunuh seekor ular, dikatakan sebesar naga, yang mengganggu pemburu di hutan sekitarnya.
Kejadian itu berlaku apabila ramai lelaki Berawan yang keluar berburu sama ada secara individu atau berkumpulan hilang di dalam hutan dan langsung gagal dijejaki. Misteri kehilangan mereka menimbulkan tanda tanya kepada penduduk termasuk ketuanya, Gib.
Anak lelaki Gib, Parong bertindak menyiasat punca kehilangan rakan mereka termasuklah beberapa pemburu handal kaum Berawan. Nasib malang menimpa Parong apabila beliau sendiri hilang dan tidak pulang selepas berminggu masuk ke dalam hutan.
Gib kemudian membuat keputusan untuk menyiasat sendiri punca kehilangan misteri dan masuk memburu seorang diri. Beliau membawa bersama sebatang sumpit yang dipasang pisau di hujungnya untuk dijadikan senjata.
Sebaik tiba di kaki bukit, Gib terdengar bunyi pelik di atas sebatang pokok Tapang (Tualang) dan mendekati untuk menyiasat punca bunyi itu tetapi secara tiba-tiba hujan lebat menyebabkan beliau mencari tempat perlindungan sementara.
Tasik Loagan Bunut, Tinjar Baram, Miri dihiasi landskap menarik.
Apabila ternampak sebuah lubang besar yang boleh memuatkan beberapa lelaki dewasa, Gib terus masuk dan memacakkan batang sumpit ke tanah. Tiba-tiba beliau terasa air menitis daripada bahagian atas lubang dan mendapati ia adalah darah.
Darah itu menitis disebabkan luka yang berlaku ketika Gib secara tidak sengaja tercucuk pisau pada batang sumpit ke bahagian atas lubang.
Terperanjat dengan kejadian itu, Gib melangkah beberapa kaki ke dalam lubang untuk menyiasat dan menemui tulang manusia berselerakan di situ menyebabkan beliau terus melarikan diri kerana sedar lubang itu adalah satu perangkap.
Sangkaannya tepat kerana lubang besar tempat beliau berlindung adalah mulut ular besar yang memang dijadikan perangkap menangkap haiwan termasuk manusia yang masuk ke dalamnya.
Ketua Rumah Panjang Long Bunut, Meran Surang, 67, ketika menceritakan kisah legenda itu berkata, apabila menyedari Gib cuba melarikan diri daripada perangkap, ular berkenaan cuba menutup mulut tetapi gagal kerana tersangkut pada batang sumpit Gib yang dipacak tegak di dalamnya.
"Ular itu sangat besar, seperti naga. Bayangkan mulutnya di bawah dan ekornya di puncak pokok Tapang. Memang ular itulah yang menelan ramai pemburu Berawan dengan mengumpan bunyi di atas pokok," katanya.
Sebaik saja Gib berjaya menyelamatkan diri, beliau terus pulang ke rumah panjang dan meminta semua penduduk bersedia untuk menangkap ular gergasi berkenaan.
Beliau memberi amaran bahawa mereka hanya mempunyai dua pilihan sama ada membunuh ular itu atau mereka dibaham ular jika tidak bertindak. Antara semua penduduk yang berkumpul di rumah Gib dan bersedia masuk ke hutan, hanya dua orang yang dilarang mengikuti ekspedisi memburu ular.
Seorang nenek tua dan anak yatim lelaki diarahkan tinggal di situ atas faktor keselamatan dan menunggu sehingga mereka pulang, manakala penduduk lain yang cukup marah membawa semua senjata mereka masuk ke hutan bersama Gib untuk menangkap ular.
Selepas bertarung beberapa lama, akhirnya ular gergasi itu berjaya dibunuh dan dibawa pulang ke rumah panjang.
Sebagai tanda keraian, Gib mengarahkan badan ular itu dipotong kecil dan dagingnya diagihkan kepada semua penduduk dan satu majlis keramaian atau pesta diadakan sebagai tanda kemenangan menentang musuh.
Nenek dan anak yatim yang menunggu di rumah panjang turut diberikan beberapa potong daging ular untuk dipanggang. Namun, ketika sedang memanggang daging, mereka berdua terdengar suara halus dan tercari-cari dari mana datangnya suara misteri itu.
Anak yatim itu mendapati suara itu datangnya daripada potongan daging ular yang mengarahkan mereka supaya segera lari menyelamatkan diri kerana ribut besar akan melanda kawasan rumah panjang pada bila bila masa saja.
Mereka terus melarikan diri dan bersembunyi di rumpun buluh berhampiran rumah panjang dan tiba-tiba ribut petir melanda menyebabkan semua penduduk di situ mati dan kediaman mereka musnah. Kejadian itu disaksikan nenek dan anak yatim, lalu diceritakan secara lisan turun-temurun.
Daging ular yang dipotong itu tercampak ke dalam tasik dan menjadi batu. Penduduk Berawan menggelarnya sebagai batu naga dan ia boleh dilihat sekiranya air tasik Loagan Bunut kering pada musim kemarau panjang.
Mereka percaya, jika berlaku kemarau panjang, hujan hanya akan turun semula jika mereka membakar batu naga atau melagakan batu itu sesama sendiri di dalam tasik. Hujan akan turun tidak berapa lama selepas itu berdasarkan beberapa petunjuk.
Antara petunjuknya ialah paya kecil di dalamnya akan mula ditumbuhi rumput tasik dan mula mengeluarkan bunga dalam beberapa minggu. Itu menandakan hujan akan turun dan air mula memenuhi tasik serta beberapa anak sungai di sekitarnya.
Sehingga kini, susunan batu naga itu boleh dilihat sekiranya tasik kering sepanjang musim kemarau antara Jun hingga Ogos setiap tahun. Namun sejak 10 tahun lalu, keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan jangkaan akan berlaku kemarau kurang tepat.
Meran berkata, ketika datuknya masih hidup, beliau pernah melihat pokok Tapang itu masih wujud di hutan sekitar tasik dan mendapati memang ada kesan lilitan besar pada batangnya dipercayai akibat lilitan ular gergasi.

Tiada ulasan: